Iklan

Saturday 1 March 2014

[Analisis] : Adakah Moyes perlu dipecat?



Untuk ulasan setelah lebih daripada separuh musim, memang diakui merupakan satu musim yang penuh dengan kecewa. David Moyes yang dipilih oleh Sir Alex Ferguson untuk meneruskan legasinya dilihat sebahagian penyokong tidak berkemampuan untuk membawa United. Kerap kali dilihat pada laman fanpage peminat bola sepak, pengurus di 'troll' akibat mudah mencicirkan mata menentang lawan yang boleh dianggap menang. Untuk aspek ini, marilah sama-sama membuat penilaian tentang beliau.


  • Pasukan yang diwarisi
Beberapa ahli pasukan dilihat sudah melepasi tempoh terbaik dalam karier mereka. Rio Ferdinand yang kini sudah berusia 35 tahun, Nemanja Vidic dan Patrice Evra, 32 tahun, barisan pertahanan dilihat perlu diperkuat semula dengan pemain muda yang mampu memberi khidmat kepada United. Kerapkali United dikaitkan dengan pemain seperti Ezequiel Garay, Luke Shaw, Mats Hummels dan sebagainya namun tidak menampakkan hasilnya. Di bahagian tengah, Tom Cleverley dilihat kurang menyerlah dan sering dipersalahkan peminat. Sumbangan Ashley Young dilihat sungguh terhad akibat cara permainannya sudah boleh diramal pertahanan lawan manakala nama Nani hampir tenggelam. Hanya Adnan Januzaj dan Micheal Carrick dilihat menyerlah serta banyak terlibat dalam menyelamatkan situasi sukar United. Kebanyakan peminat melihat Shinji Kagawa tidak digunakan sepenuhnya David Moyes dan kariernya terumbang-ambing. Di bahagian serangan, hanya Wayne Rooney dan Robin Van Persie yang menyerlah. Danny Welbeck dilihat tidak menunjukkan potensi beliau yang sebenar. Javier Hernandez pula jarang diturunkan dan dalam banyak masa hanya menjadi pemain yang keluar dari bangku simpanan.

  • Kegagalan musim perpindahan
Dalam 2 musim perpindahan, pengurus hanya mampu membawa Juan Mata dari Chelsea dengan harga 37.1 juta pound dan Guillermo Varela serta kegagalan membawa Ander Herrera, Thiago Alcantara, Cesc Fabregas dan Ezequiel Garay ke Theatre of Dreams. Tindakan David Moyes mengambil cuti ketika perpindahan musim panas membawa kesan yang sangat besar kerana tempoh tersebut amat penting untuk membina pasukan mengharungi musim bersama pengurus baru. Kini, banyak peminat merasakan faktor itulah membawa kepada prestasi buruk United sepanjang musim ini dan dapat dillihat berdasarkan siri keputusan buruk di EPL dan Liga Juara-Juara, paling jelas ketika kekalahan 2-0 kepada Olympiakos, kekalahan pertama United kepada lawan dari kelab Greek. 



  • Gaya pengurusan
David Moyes dilihat tidak seperti Sir Alex Ferguson yang memberi layanan "hairdryer" kepada pemainnya yang memberi prestasi buruk di atas padang dan kegagalan pemain menjaga disiplin mereka. Sebahagian peminat melihat Marouane Fellaini menggunakan telefon bimbit di bangku simpanan, menandakan beliau tidak menunjukkan ketegasan menyeluruh kerana jika Ferguson masih mengurus United, pemain tersebut akan dihukum seperti tidak diturunkan untuk perlawanan seterusnya. 

 Bored Marouane Fellaini caught texting from the stands during Manchester United   Newcastle [Pics & Tweets]
Fellaini dilihat menggunakan telefon bimbit di bangku simpanan
Kredit : www.101greatgoals.com


Langkah David Moyes membawa staf kejurulatihan sendiri menggantikan Mike Phelan (penolong pengurus), Eric Steele (jurulatih penjaga gol) dan Rene Meulensteen (jurulatih pasukan utama) menyebabkan beliau tidak diberi informasi yang mendalam terhadap pasukan yang diwarisi dari Sir Alex Ferguson. Informasi tersebut amat penting untuk membina semula pasukan yang diuruskan oleh pengurus legenda selama 27 tahun.


David Moyes sebenarnya boleh melakukan sesuatu untuk mengubah pasukannya seperti menjual pemain yang sudah tidak boleh menyumbang mengikut taktiknya seperti Ashley Young dan Nani dan pemain yang beliau rasakan patut dijual. Beliau mendapat kepercayaan penuh pihak pengurusan untuk terus mengurus United dan seharusnya pemilik, keluarga Glazer seharusnya menyediakan dana yang banyak untuk membina semula pasukan mengikut rancangan taktikal David Moyes. Musim ini dilihat sebagai tempoh tersangat penting untuk David Moyes melihat pasukannya dan perlu melakukan perkara-perkara yang sepatutnya dalam perpindahan musim panas nanti, itupun jika tempoh beliau masih panjang.